KUCHING, 18 Mac: Ramadan bukan sekadar bulan untuk berpuasa tetapi waktu untuk melatih disiplin diri, memperkukuh keimananan dan memperbaharui tekad.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia menjadi peringatan kepada umat Islam untuk mempertingkatkan ketakwaan, mempraktikkan kesabaran dan memupuk rasa belas kasihan terhadap sesama manusia.
“Selain menahan diri daripada makan dan minum, Ramadan mengajar kita untuk menyucikan hati, mengawal hawa nafsu, dan mendekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Swinburne Sarawak Bazaar Ramadhan di sini, hari ini.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, prinsip Ramadan seperti empati, kemurahan hati dan ketabahan adalah nilai yang melangkaui batas agama.
“Nilai ini menjadi asas kepada sesebuah masyarakat yang harmoni dan penuh belas kasihan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau gembira dengan pembukaan bazar tersebut yang menggabungkan elemen kebajikan dan tanggungjawab sosial.
“Ramadan mengajar kita tentang pentingnya memberi dan saya memuji segala usaha untuk membantu mereka yang memerlukan sama ada melalui sumbangan makanan, kutipan dana atau inisiatif sukarelawan,” jelasnya. -TVS