Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fazzrudin dan Hilmy meninjau kerja-kerja penurapan semula jalan rosak susulan kerja-kerja pembetungan di Lorong Kenangan 6, Jalan Pinang Jawa, di sini, hari ini.

Projek pembetungan sekitar Kampung Gita siap hujung tahun ini

BySuara Sarawak

KUCHING, 18 Mac: Projek pembetungan berpusat di kawasan Kampung Gita dan sekitarnya dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, dengan kemajuan kerja kini mencapai lebih 80 peratus.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata, projek yang sepatutnya siap pada 31 Disember 2024 itu mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa cabaran teknikal yang dihadapi di lapangan.

“Memang mengikut jadual asal projek ini siap pada hujung tahun lalu, tetapi atas faktor teknikal yang telah dijelaskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, kita akur akan keperluan lanjutan masa.

“Bagaimanapun, kerja-kerja utama kini telah mencapai 80 hingga 90 peratus siap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tapak projek penurapan semula jalan rosak susulan kerja-kerja pembetungan di Lorong Kenangan 6, Jalan Pinang Jawa, di sini, hari ini.

Menurutnya, skop kerja utama projek di bawah fasa dua tersebut melibatkan pembinaan saluran utama sistem pembetungan yang merupakan antara langkah penting dalam pengurusan sistem kumbahan moden di kawasan terlibat.

“Sebelum ini, air kumbahan dari rumah masuk ke dalam tangki septik. Dengan adanya sistem baharu, ia terus disalurkan ke loji rawatan utama di Bintawa tanpa melalui tangki septik lagi.

“Langkah ini sekali gus mengurangkan risiko pencemaran dan menambah baik sistem perparitan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman atas usaha mendapatkan peruntukan khas bagi tujuan penurapan jalan-jalan yang terlibat dalam kerja-kerja pembetungan tersebut.

“Proses penurapan semula jalan-jalan di kawasan ini adalah secara berkala setiap tiga hingga lima tahun di bawah peruntukan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris).

“Oleh kerana kawasan ini telah diturap sebelum ini, maka giliran untuk diturap semula mengambil masa dua hingga tiga tahun lagi. Namun atas usaha Fazzrudin, penurapan semula jalan di sini dapat dilakukan lebih awal demi keselesaan penduduk,” jelasnya.

Justeru ujarnya, kerja-kerja penurapan semula sebahagian jalan yang telah siap kerja pembetungan sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri, manakala selebihnya selepas perayaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak Jamey Ngedat berkata, projek ini merupakan antara usaha memperluaskan perkhidmatan sistem pembetungan berpusat, sekali gus menjadikannya sistem terbesar di negeri ini.

“Sarawak masih ketinggalan dari segi perkhidmatan pembetungan berpusat, dengan kadar sambungan hanya sekitar 30 peratus berbanding 80 peratus di peringkat nasional.

“Oleh itu, projek ini sangat penting dalam usaha kerajaan untuk memperluaskan sistem pembetungan berpusat di negeri ini demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, sistem ini akan menghubungkan kawasan Kampung Gita dan sekitarnya ke pusat rawatan pembetungan berhampiran perumahan Darul Hana.

“Dengan adanya sistem ini, air kumbahan tidak lagi mencemari longkang perumahan. Parit hanya akan menyalurkan air hujan sahaja dan bukan lagi air sisa domestik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, projek pembetungan berpusat Kuching fasa satu dan dua telah siap dan beroperasi, manakala fasa ketiga masih dalam proses reka bentuk. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan