KUCHING, 18 Mac: Permit serta lesen agensi-agensi yang terlibat sebagai agen Program Sarawak Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H) kini dikendalikan oleh Sarawak sendiri.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil menambah, kuasa itu diturunkan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memudahkan permohonan.
“Untuk tahun ini, permit ataupun lesen-lesen agensi yang menjadi agen mengurus kemasukan golongan yang terlibat dalam program SMM2H dikendalikan oleh Sarawak. Kalau dahulu kita perlu melalui MOTAC.
“MOTAC telah menyerah kuasa ini kepada Sarawak dan Sabah ekoran permintaan kita bagi bersama-sama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan, Pejabat Premier antara lainnya, bagi mengendalikan permohonan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Festival What About Kuching (WAK) 2025 di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Sarawak merupakan negeri dengan rekod permohonan SMM2H tertinggi di seluruh negara dengan mencatatkan 560 permohonan pada tahun lepas.
Ujarnya, angka tersebut merangkumkan satu keluarga dalam setiap permohonan.
“Tahun lepas kita mencatatkan 560 permohonan yang termasuk dengan ahli keluarga dan isteri.
“Angka itu adalah jumlah permohonan, tetapi dari segi jumlah individu pula, ia akan lebih daripada itu,” jelasnya lagi.
Menurutnya, berkuat kuasa 1 Januari lepas, simpanan tetap ataupun ‘fixed deposit’ (FD) ditetapkan pada RM500,000 untuk setiap permohonan berbanding kadar lama iaitu RM150,000 bagi setiap individu.
Setakat ini jelasnya, warga China mencatatkan permohonan tertinggi selain Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, Amerika Syarikat dan Eropah. -TVS