KUCHING, 18 Mac: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak baru-baru ini memperkukuhkan jentera mereka melalui penubuhan biro di empat zon utama, yang dijangka memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan aktiviti dan persiapan untuk sesi tahun 2025 hingga 2028.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penubuhan biro ini bertujuan untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan program serta aktiviti Wanita PBB di setiap zon sepanjang sesi baharu terbabit.
“Langkah ini adalah strategi penting untuk memperkukuhkan lagi peranan wanita PBB di peringkat zon, sekali gus mempersiapkan kami menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-13,” kata kenyataan tersebut.
Biro yang baru ditubuhkan terdiri daripada empat zon utama, iaitu Zon Selatan, Zon Betong, Zon Tengah, dan Zon Utara. Setiap zon dilengkapi dengan Ketua dan Timbalan Ketua yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan aktiviti di kawasan masing-masing.
Bagi Zon Selatan, Ketua Biro ialah Rodiyah Sapiee, dengan Christie Augustine Kiek sebagai timbalannya. Di Zon Betong, Ketua dan Timbalan Ketua adalah Umang Nangku dan Dayang Noorazah.
Zon Tengah pula dipimpin oleh Fridah Osman sebagai Ketua dan Nazrah Affendi sebagai Timbalan Ketua, manakala Zon Utara dipimpin oleh Lilla Raja @ Lilla Wong bersama Noriha Ali sebagai timbalannya.
Kenyataan tersebut turut menekankan bahawa aktiviti biro ini akan berteraskan tiga fokus utama iaitu kepimpinan, persiapan untuk Pilihan Raya Negeri ke-13, dan pemerkasaan ekonomi wanita.
“Fokus utama untuk kunci kepimpinan adalah memperkukuh nilai kepimpinan dan sahsiah wanita PBB. Untuk persiapan Pilihan Raya Negeri ke-13, perhatian akan diberikan kepada penyediaan jentera wanita dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi. Bagi pemerkasaan ekonomi wanita, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan pendapatan ekonomi wanita sebagai penyumbang utama isi rumah,” kata kenyataan tersebut.
Selain itu, kenyataan itu turut menekankan bahawa biro ini juga bertujuan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga, dengan memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan ekonomi wanita sebagai penyumbang utama pendapatan rumah tangga.
Selain penubuhan biro, pelantikan Ketua dan Timbalan Ketua Zon untuk setiap 13 Zon Wanita PBB juga telah dilaksanakan, melibatkan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi Wanita (MTW) PBB dan Ketua Wanita PBB Cawangan.
Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Seri Fatimah Abdullah, telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak untuk sesi 2025 hingga 2028, yang dihadiri oleh 40 ahli MTW PBB baru-baru ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua yang terlibat, terutama MTW dan Wanita PBB, atas usaha gigih mereka menjayakan Konvensyen serta Mesyuarat Agung PBB Ke-16, termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti jualan sepanjang konvensyen tersebut. – TVS