Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan. Foto TVS

Paip lama sepanjang 300km di Sarikei akan diganti baharu

ByMuqri Aziz

KUCHING, 18 Mac: Kira-kira 300 kilometer (km) paip lama di Bahagian Sarikei, iaitu lebih panjang daripada jarak Kuching ke Sibu, akan diganti menerusi Program Penggantian Paip di kawasan luar bandar Sarawak.

Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan berkata, projek ini merupakan sebahagian daripada 307 projek penggantian paip yang sedang dan akan dilaksanakan di seluruh negeri dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.1 bilion diluluskan.

“Bagi JBALB, sejumlah RM558 juta telah diluluskan bagi melaksanakan 420 projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan bermula tahun lalu sehingga tahun 2028 dan diharapkan pelaksanaan projek penggantian paip ini dapat mengurangkan kadar air tidak terawat (NRW) yang merupakan antara cabaran utama dihadapi JBALB di Sarawak.

“Untuk Bahagian Sarikei sahaja, kebanyakan paip merupakan paip asbestos cement (AC) di kawasan ini sudah lama dengan ada yang berusia lebih 50 tahun dan perlu diganti bagi meningkatkan kecekapan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus bersama Media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 peringkat JBALB Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut beliau, tempoh pelaksanaan bagi setiap projek berbeza mengikut panjang paip yang diganti, dengan jangka masa antara tiga hingga sepuluh bulan.

“Untuk tahun ini sahaja, terdapat 307 projek penggantian paip termasuk yang telah bermula sebelum ini dan projek baharu. Selebihnya akan dilaksanakan dalam tahun-tahun akan datang.

“Projek-projek ini berskala kecil dan dilaksanakan mengikut bahagian. Setiap bahagian mungkin mempunyai tiga hingga lima projek yang sedang berjalan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kadar NRW, beliau berkata Sarawak mencatatkan kadar NRW di luar bandar sebanyak 59 peratus.

“Penggantian paip lama ini bertujuan mengurangkan NRW. Dengan pelaksanaan projek ini selama lima tahun, kita menjangkakan kadar tersebut dapat dikurangkan kepada sekitar 30 peratus.

“Secara purata, kadar NRW di Sarawak adalah antara 43 hingga 45 peratus. Namun, kadar di luar bandar lebih tinggi kerana banyak paip lama masih belum diganti,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk bekerjasama dalam melaporkan kebocoran paip bagi membantu mengurangkan pembaziran air.

“Media juga banyak membantu kami dalam perkara ini. Jika ternampak air bocor, terus hantar gambar kepada pihak kami untuk tindakan segera,” tambahnya.

Projek penggantian paip ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kecekapan sistem bekalan air, khususnya di luar bandar bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih dan berkualiti dengan sasaran liputan penuh menjelang 2030. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan