KUCHING, 18 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak memperkukuhkan perlindungan hak pengguna dengan melancarkan Ops Pantau 2025, yang bertujuan memastikan kestabilan harga serta bekalan keperluan asas mencukupi sepanjang Ramadan.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, berkata operasi ini akan memberi fokus kepada pemantauan harga barangan kawalan, pengawasan terhadap jualan murah, serta memastikan penggunaan alat timbang yang tepat di premis perniagaan.
“Melalui Ops Pantau ini, kami memastikan bekalan barang kawalan bersubsidi sentiasa mencukupi, harga barang berada dalam kawalan, serta memantau penggunaan alat timbang, barang tiruan, dan pematuhan peraturan halal, terutama sekali semasa musim perayaan,” katanya.
Selain pemantauan secara fizikal di premis perniagaan, beliau memberitahu bahawa Ops Pantau 2025 turut melibatkan pemeriksaan di Bazar Ramadan, termasuk di Bazar Ramadan Stutong Kuching baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia di sini, hari ini.
Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia berperanan sebagai platform utama dalam memberikan kesedaran dan pendidikan mengenai isu-isu kepenggunaan serta memperkukuh usaha pemerkasaan pengguna di peringkat antarabangsa.
Bertemakan ‘Semarak Konsumerisme’ yang dipilih, sambutan tahun ini mengajak masyarakat mengambil peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran tentang faktor-faktor yang menyebabkan inflasi, pembaziran, harga yang tidak terkawal, dan amalan perbelanjaan yang berlebihan.
Dalam masa sama, KPDN Sarawak juga menggalakkan orang ramai untuk terus menyalurkan aduan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp dan portal aduan KPDN.
Matthew menasihatkan pengguna agar tidak terus berkongsi aduan di media sosial, terutamanya yang berkaitan dengan penyelewengan, bagi mengelakkan pelaku menyembunyikan bukti sebelum siasatan dijalankan.
“Jadi, untuk memastikan tindakan lebih berkesan, salurkan aduan kepada KPDN terlebih dahulu,” ujar beliau.
Untuk rekod, bagi tahun 2024, KPDN Sarawak telah menerima pelbagai aduan kepenggunaan di mana tiga kategori tertinggi termasuk aduan harga (475 aduan), transaksi dalam talian (329 aduan) dan barang kawalan (203 aduan).
Sebarang aduan boleh dilakukan melalui saluran rasmi KPDN di eaduan.kpdn.gov.my, atau hubungi talian hotline di 1-800-886-800 atau di aplikasi WhatsApp di 019-848 8000. – TVS