SEBUYAU, 18 Mac: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah bekerjasama menyantuni masyarakat di kampung Sebangan, Sebuyau melalui program Ziarah Ramadan Dan Program Tanggungjawab Sosial.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata seramai 100 orang asnaf dan 28 kanak-kanak menerima sumbangan bersempena Hari Raya Aidilfitri manakala 30 orang pelajar menerima insentif pendidikan.
Jelasnya, penganjuran program tersebut dipercayai memberi kemeriahan dan keriangan ramadan kerana ia telah dikongsi dengan mereka yang memerlukan bantuan dan serba kekurangan sekaligus memupuk nilai prihatin sesama insan.
“Alhamdulillah petang ini kita dapat bersama-sama berkumpul pada bulan Ramadan seperti di tempat-tempat lain.
“Kita uruskan sedikit sebanyak sumbangan untuk adik-adik yang terutama sekali memerlukan bantuan yang boleh kita lakukan dengan kerjasama pihak Sarawak Digital Economy Corporation,” katanya.
Beliau berucap semasa Ziarah Ramadan dan Program Tanggungjawab Sosial di Masjid Darul Aman di Sebuyau pada Selasa.
Tambahnya, pelaksanaan program sebegini memberi peluang untuk mendekati komuniti di sekeliling dengan cara yang lebih bermakna selain menggalakkan kolaboratif  berterusan diantara agensi-agensi berkaitan.
Ujarnya lagi acara ini perlu diteruskan pada setiap tahunnya agar perasaan gembira dan syukur dalam berkongsi rezeki menjadi amalan kepada semua juga untuk sentiasa prihatin terhadap orang lain, dan mengamalkan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat.
Program ini merupakan tahun kedua yang dianjurkan oleh MUT dengan kolaborasi agensi-agensi berkaitan termasuk Sarawak Energy (SEB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kali ini turut disertai oleh Lembaga Air Kuching (KWB).
Sebanyak 250 bubur pedas turut diagihkan kepada masyarakat sekitar bagi berkongsi nikmat ramadan. -TVS