KUALA LUMPUR, 18 Mac: Cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun memerlukan kajian menyeluruh.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, perkara itu tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa agar pelaksanaannya tidak menjejaskan kestabilan politik negara.
Tambah beliau, cadangan itu sebenarnya mustahak bagi mengelak seseorang pemimpin itu terlalu selesa dengan jawatan berkenaan.
“Cadangan pindaan ini dapat memastikan perancangan dasar kerajaan tidak terganggu, mewujudkan kesinambungan kepimpinan dan memberi peluang kepada pemimpin pelapis untuk mengemudi negara dengan tersusun,” katanya kepada TVS hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kerajaan bersedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan itu kepada 10 tahun.
Anwar pada masa sama berkata, proses itu akan dilaksana dengan rapi kerana ia memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Sementara itu, jelas Mohammad Tawfik beberapa negara seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Indonesia telah mengamalkan tempoh had pemimpinan ketua kerajaan.
Negara – negara itu juga kata beliau mempunyai tahap demokrasi antara yang terbaik di dunia.
“Malah, had tempoh ketua kerajaan di negara-negara berkenaan telah mengangkat penghormatan yang tinggi terhadap kedudukan negara masing-masing dan kesegaran dasar kerajaan yang semakin bertambah baik,” katanya.
Tambah beliau, dalam konteks di Malaysia, Pulau Pinang boleh menjadi model dan contoh terbaik bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan pindaan perlembagaan yang berkesan.
“Malah kesungguhan politik di Pulau Pinang telah memperlihat kepercayaan tinggi rakyat terhadap kepindahan negeri dan menambah kemakmuran ekonomi,” katanya. -TVS.