KUCHING, 18 Mac: Islamic Information Centre-Majlis Islam Sarawak (IIC-MIS) dengan kerjasama Syarikat Rashila Maju dan Tabung Baitulmal Sarawak telah menganjurkan program Sinar Ramadan dan Iftar IIC-MIS 2025 dalam usaha membantu masyarakat setempat meningkatkan taraf kehidupan dari aspek ekonomi dan sosial.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IIC-MIS, Tazudin Mohtar, program ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) IIC-MIS dan sebahagian daripada agenda tahunan sejak penubuhannya pada tahun 2008.
“Program Sinar Ramadan dan Iftar IIC-MIS 2025 mencerminkan semangat kebersamaan serta keprihatinan terhadap masyarakat setempat, selaras dengan nilai-nilai murni Ramadan yang menggalakkan perpaduan, kasih sayang serta budaya saling membantu dan menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Islamic Information Centre, Kuching baru-baru ini.
Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, program ini bukan sahaja menampilkan aktiviti CSR tetapi turut meraikan golongan yang memerlukan melalui sesi sumbangan khas dan majlis berbuka puasa bersama para tetamu jemputan.
IIC-MIS berharap program sebegini dapat mempererat hubungan dalam komuniti serta membawa kegembiraan kepada penerima sumbangan.
Antara penerima manfaat program ini termasuk pelajar Islam asnaf dari sekolah-sekolah sekitar Kuching seperti SMK St. Thomas, SMK St. Mary, SMK Demak, SMK Seri Setia, SK Merpati Jepang, dan SK Matu Daru.
Selain itu, golongan Orang Kurang Upaya dari Sarawak Society for the Blind turut menerima bantuan.
Acara ini turut menampilkan ceramah khas tazkirah Ramadan bertajuk “Fasting: Strengthening My Spiritual Need”, yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ilyas Muhamad Salleh dari UiTM Cawangan Sarawak.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) merangkap Ahli Panel Penasihat IIC-MIS, Datuk Norhyati Ismail, serta ketua-ketua dan wakil agensi Islam, institusi pendidikan, dan masyarakat setempat. -TVS