MUKAH, 18 MAC: Lebih 500 orang warga Mukah memeriahkan Program Berbuka Puasa Bersama Cats FM di Masjid Setia Raja di sini, baru-baru ini.
Menurut laporan UKAS, program itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib yang meraikan kanak-kanak dengan menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan asas dan duit raya kepada mereka.
Selain itu majlis turut dilengkapkan dengan sesi bacaan tahlil sebagai tanda penghormatan dan mengenang jasa kedua-dua ibu bapa Hanifah, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarhamah Puan Sri (Dr) Laila Taib
Beliau yang juga Ahli Parlimen Mukah dalam ucapan ringkasnya berharap program seperti ini dapat terus dijadikan platform untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan khususnya kanak-kanak dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Turut hadir, Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said serta Pengarah Urusan Kristal Harta Sdn. Bhd. (Cats FM), Mohd Iskandar Mohd Nawawi