MUKAH, 18 Mac: Seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Jambatan Kuning Batang Mukah di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.23 petang dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi kejadian.
“Dalam kejadian sekitar jam 3.50 petang ini dua kanak-kanak malang ini iaitu Dexper Kiu Kuang Wei,10, dan Susie Kiu,7, sedang mandi di sungai.
“Tiba-tiba kedua-dua mereka tenggelam dibawa arus kerana tidak pandai berenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, cubaan ibu mereka untuk menyelamat anaknya gagal.
“Setibanya di lokasi kejadian pihak bomba mendapatkan maklumat dan seterusnya mengarahkan anggota untuk menurunkan bot penyelamat.
“Operasi pencarian dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar mangsa dikhuatiri lemas,” ujarnya.
Katanya, setakat ini mayat kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.-TVS