KUCHING, 18 Mac: Cadangan pembinaan pusat latihan muaythai kini dalam peringkat kajian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Presiden Persatuan Muaythai Sarawak Jumaat Ibrahim berkata pihaknya telah mengemukakan kertas kerja dan yakin kerajaan prihatin dengan keperluan pusat berkenaan.
“Supaya kita boleh mempromosikan lagi sukan muaythai dengan lebih mantap.
“Kita boleh memanggil semua anak-anak muaythai dari seluruh Sarawak untuk menghadiri kursus (latihan) di pusat itu,” katanya pada majlis berbuka puasa Persatuan Muaythai Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yakin Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah amat memahami aspirasi pembangunan sukan muaythai yang dapat dicapai dengan adanya pusat berkenaan kelak.
Jelasnya, komitmen persatuan terhadap pembangunan muaythai sentiasa diletakkan di hadapan yang dapat dicerminkan dengan kejayaan kem muaythai pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
“Dengan adanya pusat itu kelak kita meletakkan matlamat untuk melahirkan lebih ramai jaguh muaythai bertaraf antarabangsa,” katanya.
Mengenai lokasi cadangan pembinaan pusat itu, beliau berkata adalah strategik ia dibina di kawasan sekitar stadium di Petra Jaya.
“Supaya kita senang berkongsi kemudahan sukan seperti jogging dan latihan lain,” katanya. -TVS