KUCHING, 18 Mac: Bagi memastikan belia di wilayah ini dibangunkan berlandaskan ekonomi, Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED).
Delegasi KOBIS diketuai Pengerusinya, Zaiwin Kassim yang disambut oleh Timbalan Setiausaha Tetap MYSED, Dolhadi Marzuki.
Zaiwin berkata, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai peluang kerjasama strategik untuk menyokong agenda pembangunan belia di Sarawak.
Menurutnya, perbincangan tersebut juga menekankan inisiatif utama yang bertujuan membekalkan belia Sarawak dengan kemahiran koperasi dan keusahawanan, membangunkan kepimpinan serta memperluaskan peluang di peringkat global.
“Kerjasama ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS2030) yang menekankan peranan bakat muda dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi dan penyertaan dalam industri bernilai tinggi.
“Kami melihat potensi besar dalam meletakkan belia sebagai pemacu utama kemajuan ekonomi Sarawak. Melalui inisiatif strategik dan program terancang, kami berhasrat meningkatkan tahap pendapatan belia sambil membentuk kepimpinan serta pendedahan global,” katanya.
Zaiwin menjelaskan, MYSED turut menyatakan sokonganterhadap inisiatif yang diterajui belia dalam menjana pendapatan mampan dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
“Kementerian (MYSED) mengakui kepentingan program berstruktur dalam memupuk kemahiran keusahawanan dan menyediakan mereka denganperanan kepimpinan dalam landskap global yang semakin kompetitif,” ujarnya.-TVS