Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Bahagian Miri Tahun 2025 di Perkarangan Dynasty Hotel, Miri, hari ini. Foto TVS

Aidilfitri: 738 klien JKM bantuan Sejambak Kasih di Miri

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 18 Mac: Program Sejambak Kasih Aidilfitri anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyaksikan seramai 738 penerima bantuan di Miri menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan hamper sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi tahun 2025 seramai 738 orang yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri daripada 4,546 orang penerima jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan kebajikan di Miri.

“Sejambak Kasih bukan sahaja dianjurkan sempena Aidilfitri, tetapi juga semasa Tahun Baharu Cina dan Gawai, menjadikan program ini berlangsung sebanyak tiga kali setahun.

“Sumbangan yang diberikan merangkumi wang tunai RM100 oleh JKM dan hamper bernilai RM150 daripada Dynasty Hotel, menunjukkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Bahagian Miri Tahun 2025 di Perkarangan Dynasty Hotel, Miri, hari ini.

Selain membantu golongan kurang berkemampuan menyambut perayaan dengan lebih bermakna, inisiatif ini juga memperkukuh keharmonian sosial dalam masyarakat Sarawak.

Penerima manfaat terdiri daripada golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), serta pesakit terlantar yang menerima bantuan bulanan daripada JKM.

“Kerajaan Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kebajikan rakyatnya terjamin.

“Antara inisiatif yang telah diperkenalkan termasuk Skim Bantuan Kesihatan Warga Emas yang membolehkan penerima bantuan bulanan berusia 60 tahun ke atas mendapatkan pemeriksaan kesihatan bernilai RM500 setahun di klinik panel yang terpilih,” katanya lagi.

Selain itu, menurut Fatimah kerajaan negeri juga menyediakan bantuan bagi pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis di pusat dialisis swasta atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Kos rawatan yang tinggi sebanyak RM120 bagi setiap sesi mencuci darah, tiga kali seminggu, dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan untuk meringankan beban pesakit,” jelasnya.

Bantuan turut diberikan kata Fatimah kepada pesakit yang memerlukan rawatan khusus seperti kanser dan pemindahan organ termasuk implan koklea serta alat gantian tiroid.

“Bagi tahun 2025, seramai 16,118 penerima di seluruh Sarawak akan mendapat manfaat daripada program Sejambak Kasih dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta daripada kerajaan negeri. Ini menunjukkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan terus terbela,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan