KUCHING, 17 Mac: Program Sekoh Raya : Tang Raya Jak Siya merupakan acara pop yang menampilkan pameran koleksi eksklusif baju raya dan baju kurung tradisional, kontemporari hingga ke gaya moden yang diadakan bermula pertengahan sehingga penghujung Ramadan.
Program yang berlangsung sejak semalam itu turut menayangkan ekslusif muzik video Riuh Raya oleh gabungan penyanyi tempatan muda dan veteran iaitu Arabyrd, Ila Damiaa dan Safar Ghafar.
Menurut Arabyrd, idea asal lagu tersebut adalah menggabungkan yang lama dan yang baharu sambil sama-sama meraikan perayaan, budaya dan adat masyarakat ketika berhari raya.
“Saya ingin mencipta lagu yang mana apabila orang mendengarnya, akan merasa perasaan ‘feel good’ dan tidak terikat dengan formula ‘viral’ dan ‘sampling chorus’ lagu-lagu lama dan diubah dengan cara baharu. Jadi saya, Ila dan abang Safar, kami sama-sama cuba mencipta lagu baharu yang original dan setelah lagu ini siap, kami cuba menghantar lagu ini ke Universal Music Malaysia dan kami bersyukur mereka menerimanya.
“Berbekalkan dengan keseluruhan barisan bakat produksi lagu ini dari awal penciptaannya, sehinggalah ke penghasilan video muzik yang mana semua yang terlibat merupakan 100 peratus anak jati Sarawak. Kami berharap lagu ini akan dapat didengari oleh setiap rakyat Malaysia dan pada masa yang sama kami dapat mempromosi budaya dan bahasa kita di Sarawak. Pendek kata, kami ingin membuktikan Sarawak pun boleh!,” katanya.
Kata Arabyrd, penciptaan muzik video adalah di bawah arahan Koh Khai, seorang pengarah muda yang berbakat besar manakala lagu tersebut telah diterbitkan oleh seorang ‘rapper’ iaitu Emansushii.
Penghasilan lagu tersebut dirakam sepenuhnya di studio AOK Records bawah terbitan Emansushii manakala produksi muzik video daripada ASA ESA FILMS dan pengurusan projek dilaksanakan oleh GFX Enterprise.
Projek muzik video itu katanya mendapat sokongan sepenuhnya dari Majlis Seni Sarawak (MSS) serta penaja iaitu Kek Lapis Mama Su, Swinburne Sarawak dan Sarawak Metro.
Turut sama membantu kejayaan muzik video ini adalah Tom Abang Saufi, Seri Gedong Songket, Jarum Berlian, D’Keringkam, Yarn Wild & Free, Restoran Rasa Rabuyah, Hypervision, Paradise Borneo dan Anak Kapal 47.
Seramai 20 artis tempatan dan pempengaruh turut terlibat dalam pembikinan vieo musik tersebut antaranya Rifdean Masdor (atlit Muay Thai), Bob Yunus, Fir dan Afick, Dayang Mariana (CEO Majlis Seni Sarawak), Sharifah Elya, Thorus, Asyraf Hardy, Emansushii, Irfan Aniq, Nofik, Ain Shuhada, Iqbal Harun, Cikgu Sabri, Ir Radzi, Mazlan Hipni dan ramai lagi. – TVS