MUKAH, 17 Mac: Sebanyak 3,237 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, menunjukkan penurunan sebanyak 5.8 peratus berbanding 3,438 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, walaupun jumlah keseluruhan kemalangan menurun, jumlah kemalangan maut mencatatkan peningkatan.
“Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 53 kes kemalangan maut dilaporkan dalam dua bulan pertama tahun ini, meningkat daripada 49 kes pada tahun 2024. Akibatnya, 61 nyawa terkorban, berbanding 57 kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 20 individu cedera parah, manakala 52 mengalami kecederaan ringan. Walaupun jumlah kemalangan maut meningkat, kes kemalangan parah menunjukkan penurunan ketara sebanyak 48 peratus, daripada 25 kes tahun lalu kepada 13 kes tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Transport – Awareness Behavioural Change (T-ABC) dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Mukah pada Isnin.
Dalam pada itu, Kim Shin mendedahkan bahawa 95 peratus kemalangan di Sarawak berpunca daripada kelalaian dan kecuaian pemandu berdasarkan statistik PDRM.
“Ini menunjukkan bahawa tingkah laku pengguna jalan raya adalah faktor utama dalam kebanyakan kes kemalangan. Oleh itu, kita perlu mengambil pendekatan yang lebih berkesan dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya,” tambahnya.
Menurutnya lagi, MOTS komited untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan keselamatan jalan raya melalui beberapa program utama seperti ‘Traffic Games Education Program’, Program T-ABC dan Kempen Keselamatan Jalan Raya.
Dalam usaha kreatif meningkatkan kesedaran, Kim Shin berkata, MOTS turut melancarkan sampul raya bertemakan keselamatan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
“Sampul ini menampilkan mesej keselamatan di bahagian belakang sebagai peringatan kepada orang ramai untuk mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang musim perayaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi menangani isu kesesakan dan keselamatan di simpang utama Mukah, Kim Shin berkata, MOTS juga telah meluluskan pemasangan Lampu Isyarat Pintar (Smart Traffic Light) di dua lokasi kritikal di Mukah.-TVS