Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Barisan pelakon bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan semasa tayangan perdana filem "Raya Emas - Salako Sacred Treasure" di pawagam TGV Vivacity Megamall Kuching. Foto Madeline (TVS)

“Raya Emas – Salako Sacred Treasure”, perkenal budaya Sarawak kepada dunia

ByMadeline Dugat

KUCHING, 17 Mac: Tayangan Perdana Filem “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” hari ini melakar kejayaan besar dengan memikat penonton melalui visual yang memukau, jalan cerita yang menarik dan penceritaan yang mengangkat keunikan budaya Sarawak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, filem ini berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dunia dan memperkenalkan budaya tempatan yang kurang dikenali kepada penonton antarabangsa.

“Saya rasa ini adalah sebuah filem yang bagus. Ia mempamerkan budaya Salako. Seperti yang saya katakan tadi, kita mempunyai 34 suku kaum di Sarawak. Bayangkan jika setiap suku kaum boleh menghasilkan 34 jenis filem. Ini cuma satu sahaja iaitu Salako.

“Jalan cerita ini sangat baik, unik, mistik dan penuh misteri. Sarawak ini besar, luas dan banyak lagi genre filem yang boleh dihasilkan,” katanya ketika ditemui media selepas tayangan perdana Raya Emas – Salako Sacred Treasure di pawagam TGV Vivacity Megamall pada Isnin.

Beliau menambah, perfileman di Sarawak boleh mengetengahkan pelbagai genre lain seperti seram, kisah cinta dan banyak lagi.

Ini kerana, katanya, Sarawak mempunyai bakat yang boleh mengangkat industri perfileman tempatan.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Filem Raya Emas- Salako Sacred Treasure, Alan Chua berkata, filem ini turut menyelitkan elemen komedi untuk menarik minat penonton menikmati jalan cerita mengenai kaum Salako.

“Kita ada ketawa, ada komedi dan ada aksi. Saya mahu orang merasa bahawa pergi ke pawagam bukanlah untuk memberi tekanan kepada diri sendiri, tetapi untuk melepaskan tekanan dan berkongsi dengan rakan-rakan dan filem ini tentang budaya Sarawak.

“Maksud saya, kita mempunyai kepelbagaian budaya, kita ada segala-galanya. Cuma, bila kita nak promosikan ke dunia,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon wanita utama, Ahirine Ahirudin, berkongsi keterujaannya berpeluang berlakon kali kedua di Sarawak dan pengalaman sepanjang penggambaran.

“Apabila mendapat tawaran berlakon di Sarawak, saya sangat teruja kerana Sarawak memiliki suasana yang tenang dan damai. Setiap kali saya berpeluang datang ke Sarawak, saya sentiasa menantikannya.

“Namun, cabaran terbesar bagi saya adalah watak Diana. Sebab saya sangat lasak dan sedikit santai, orang kata macam tomboy. Dalam filem ini, Diana adalah watak yang takut dan trauma dengan masa lalu. Dia sering merasa takut, sedikit demi sedikit. Itu adalah antara cabaran terbesar saya dalam filem ini,” ujarnya lagi.

Selain daripada itu, Melissa Francis yang memegang watak sebagai Aching berkata, filem ini tidak hanya memfokuskan kepada budaya kaum Salako sahaja, tetapi turut mempromosikan kepelbagaian makanan yang ada di Sarawak.

“Harapan saya, saya berharap semua orang di Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia dapat menonton filem Raya Emas, kerana ini adalah filem pertama Sarawak yang menggunakan bahasa Salako. Saya sangat suka kerana dalam filem ini banyak mempromosikan tempat menarik di Sarawak,” katanya.

Tayangan perdana Filem Raya Emas – Salako Sacred Treasure ini dihadiri oleh pelakon utama seperti Ahirine Ahirudin, Melissa Francis, Dunstun Luther Junior, Winson Voon, Wahab Daszz Hairaf, Willy Alfred Ting dan Daniel Ackeem.

Filem ini dirakam berlatar belakangkan landskap  di Lundu, Sarawak, dengan hampir 80 peratus rakaman berlangsung di kawasan hutan hujan tropika.

Filem ini mengisahkan tentang perjuangan seorang bapa, Zul (lakonan Winson Voon), yang berusaha melindungi warisan Salako, serta kisah Ansamah (lakonan Dunstun Luther) dan sekumpulan penjelajah muda yang diketuai oleh Diana (lakonan Ahirine Ahirudin), seorang gadis dengan kebolehan meramal yang luar biasa.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan