TRIPOLI, 16 Mac: Pejabat Peguam Negara Libya mengumumkan pada Ahad yang Menteri Pendidikan negara itu, Musa al-Magaryaf dijatuhi hukuman penjara 3 setengah tahun atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Hukuman terhadap menteri itu berkait pengurusan prosedur kontrak untuk mencetak dan membekalkan buku sekolah, lapor Xinhua.
Pejabat Peguam Negara menyatakan al-Magaryaf melanggar prinsip kesaksamaan dan terbabit dalam pilih kasih dan pengantaraan semasa proses itu.
Keputusan muktamad mahkamah termasuk hukuman penjara 3 setengah tahun, denda 1,000 dinar Libya (anggaran US$207), dan pelucutan hak sivil untuk tempoh hukuman dan tambahan setahun selepas hukuman dijatuhkan. – TVS