KUCHING, 17 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, dilantik sebagai Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selepas Majlis Angkat Sumpah yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
“Pelantikan ini turut menyaksikan sedikit rombakan dalam Kabinet Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakni ADUN Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) yang juga berkuat kuasa pada tarikh sama, (17 Mac 2025),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis berkenaan selesai.
Majlis Angkat Sumpah itu disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Abang Johari lagi, pelantikan baharu serta rombakan kecil ini bertujuan untuk memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan GPS kepada rakyat dan memacu kemajuan sektor tenaga, termasuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri minyak dan gas.
Selain itu tegasnya, langkah tersebut juga akan membolehkan Sarawak merancang dengan lebih strategik untuk mencapai visi sebagai wilayah yang maju dan berpendapatan tinggi, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).