PUTRAJAYA, 17 Mac: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun adalah seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan dalam membangun negara Madani.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Anwar berkata langkah itu adalah usaha bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, serta sistem yang lebih teratur.
“(Ia juga) mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Tunku Nashrul berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau terdapat beberapa negara lain melaksanakan pendekatan sedemikian seperti Indonesia.
“Langkah had tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara,” katanya.
Sementara itu, mengenai lawatan Perdana Menteri ke tiga negeri pada minggu lalu, Tunku Nashrul berkata Anwar sekali lagi meminta kerjasama berterusan dan sinergi antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Jelas beliau, Perdana Menteri percaya siri pertemuan antara kedua-dua pihak adalah penting dalam mengemas kini serta menambah baik perkhidmatan rakyat secara keseluruhan.
“Antara yang menjadi fokus soal kebajikan rakyat dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, dan projek tebatan banjir, selain beberapa isu lain yang akan terus di pantau agensi terlibat,” katanya.
Tambahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke Pulau Pinang pada 17 Mac dan seterusnya ke Terengganu dan Sabah. – TVS.