KUCHING, 17 Mac: Kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Roche Malaysia bakal membawa pembaharuan dan memperkasa pesakit kanser menerusi program Empower HER.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, ia menunjukkan komitmen kedua-dua konglomerat tersebut dalam memulakan program prihatin terhadap kesihatan pesakit dan kanser survivor.
Menurutnya, ia menunjukkan kesungguhan dalam memperkasa segmen kesihatan terutama peningkatan penyakit di wilayah ini.
“Tahun lalu, buat pertama kalinya Hospital Umum Sarawak merekodkan lebih 3,000 kes kanser payudara. Jadi, anda dapat mengira sendiri berapa kes yang dicatatkan dalam sehari dan buat pertama kalinya juga Hospital Umum Sarawak berdepan dengan lebih 500 kes kanser payudara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad dan Roche Malaysia di Kuching pada Isnin.
Menurutnya, kerjasama SEB dan Roche Malaysia membawa impak positif dan menyuntik perubahan besar bagi segmen kesihatan terutama di Sarawak.
Mengenai kekurangan doktor dan pasukan perubatan tempatan, Dr. Sim berkata, Kerajaan Sarawak sedang berusaha dalam menangani isu tersebut bagi memastikan kesihatan masyarakat berada pada tahap terbaik.
“Saya akan bertemu dengan Jabatan Kesihatan esok (Selasa) dan baharulah saya dapat menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini. Saya sudah pun menyuarakan isu ini kepada Menteri Kesihatan yang terkait juga dengan MA63. Saya pernah berkongsi dengan anda semua bahawa bukan sahaja kekurangan doktor, malah kita juga kekurangan jururawat serta ahli farmasi.
“Kita juga tahu bahawa katil pesakit di Sarawak ini kurang 45 peratus dan bukan sahaja katil, malah kita juga kekurangan tenaga kerja doktor perubatan sebanyak 54 peratus jika dibandingkan dengan standard segmen perubatan di Malaysia,” ujarnya.-TVS