PUTRAJAYA, 17 Mac: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan sistem pemilihan penempatan (E-Placement) yang dibuka pada 25 hingga 27 Mac depan ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, selain itu sistem berdasarkan kaedah first come first serve juga akan digantikan dengan sistem merit bagi memenuhi penawaran dan permintaan.
Jelas beliau, objektif E-Placement bertujuan untuk mengisi kekosongan bagi menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat namun permohonan baru-baru ini tidak mencapai matlamat itu.
“Akibat daripada masalah gangguan teknikal tersebut, statistik permohonan juga menunjukkan lebihan penempatan yang diluluskan berbanding kuota asal dan kurang daripada satu peratus kekosongan di Sabah dan Sarawak terisi sedangkan lebih 50 peratus kekosongan berada di sana.
“Ini mengakibatkan data yang diterima langsung tidak boleh digunakan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Mengambil kira insiden yang berlaku sehingga mendapat rungutan pegawai perubatan terlibat, Dr Muhammad Radzi berkata, KKM telah membuat penambahbaikkan.
“Namun setelah membuat beberapa simulasi dan penelitian, ia masih tidak dapat menawarkan proses dan keputusan penempatan dan penawaran yang adil kepada semua pihak.
“Justeru, tarikh permohonan baharu 25,26 dan 27 March yang dimaklumkan kepada calon menerusi emel dibatalkan,” katanya.
Sebelum ini seorang pegawai perubatan kontrak yang menggunakan nama Tya Roslan berkongsi kekecewaan di Facebook susulan E-Placement dibatalkan beberapa kali pada saat akhir oleh KKM ekoran isu teknikal.
Berhubung masalah teknikal berkenaan, Dr. Muhammad Radzi memaklumkan rekod log trafik pada 27 Februari lepas menunjukkan sistem berkenaan menerima lebih 19 juta hit yang mengakibatkan pengkalan data sistem tidak dapat dicapai.
“(Oleh itu) sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh KKM akan ditambah baik dan diuji keberkesanan sebelum dibuka untuk kegunaan pegawai perubatan membuat permohonan,” katanya.
Beliau berkata pengumuman mengenai tarikh baharu dan sistem yang akan digunakan dijangka akan diselesaikan dalam tempoh antara enam hingga lapan minggu. – TVS.