KUCHING, 17 Mac: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) diminta bersiap sedia mendepani cabaran pasaran kenderan lebih kompetetif daripada pesaing termasuk pasaran kenderaan elektrik (EV).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain memulakan pengimportan kenderaan elektrik, PEKEMA juga diharap dapat menjalinkan kerjasama dengan menubuhkan stesen pengecasan kenderaan sekali gus memenuhi keperluan pengguna kenderaan tersebut.
“PEKEMA patut wujudkan konsortium supaya dapat kerjasama atau dapat wujudkan pembuatan itu sendiri (stesen pengecas kenderaan elektrik) supaya di Sabah dan Sarawak khususnya yang tak banyak lagi pemain industri, kita dapat pasang semua stesen pengecas elektrik.
“Matlamat kita, dalam hujung tahun ini 10,000 stesen pengecas elektrik,” katanya.
Fadillah berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Iftar Ramadhan PEKEMA Sarawak bersama Anak Yatim dan Asnaf di Kuching pada Ahad.
Menurutnya, pengimport kenderaan termasuk PEKEMA juga diminta bersiap sedia dengan kenderaan autonomi yang beroperasi tanpa pemandu dengan bantuan teknologi pengkomputeran.
Beliau turut memberikan bayangan kehadiran kenderaan itu nanti yang akan mengganggu pasaran penjualan kenderaan sedia ada.
“Maksudnya, adakah orang akan membeli kenderaan sebab kenderaan sudah tidak perlu dipandu lagi. Mungkin juga kenderaan itu tidak mempunyai tuan, jadi apa yang berlaku kepada mereka terlibat dalam perniagaan penjualan kereta?,” ujarnya.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Presiden PEKEMA Sarawak Dato Zainuddin Abdul Rahman -TVS