Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abdul Arif Adzman, Mariam Zanariah Ibrahim, Mohamad Nur Roszazuwan dan Henry Jalin Watt ketika ditemui semasa tinjauan TVS sekitar Bazar Ramadan Matang Jaya. Foto Willy Jali (TVS)

Berbelanja ikut keperluan, bukan nafsu

ByWilly Jali

KUCHING, 17 Mac: Setiap kali Ramadan, bazar-bazar yang meriah menjadi destinasi utama bagi orang ramai untuk memenuhi keinginan mereka terhadap pelbagai juadah berbuka puasa.

Namun, di sebalik suasana yang penuh dengan keriangan dan warna-warni ini, satu isu yang terus hangat diperdebatkan adalah pembaziran makanan yang semakin meruncing dalam kalangan masyarakat.

Keadaan ini memperlihatkan bagaimana keghairahan untuk menikmati pelbagai jenis makanan kadangkala menenggelamkan pertimbangan dan mengundang pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku di bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Tinjauan di TVS sekitar Bazar Ramadan Matang Jaya mendapati rata-rata masyarakat semakin sedar dan membuka mata terhadap amalan pembaziran pada bulan Ramadan.

Seorang pengunjung, Maryam Zanariah Ibrahim, 35, menegaskan bahawa pembeli harus lebih berdisiplin dan berhemah ketika berbelanja agar tidak berlakunya pembaziran.

“Pembaziran semasa bulan Ramadan memang selalu kita dengar sebab orang membeli ikut nafsu. Apabila membeli, kita harus berpada-pada dan beli barang ikut keperluan, bukan mengikut hawa nafsu,” katanya ketika ditemui di Bazaar Ramadan Matang Jaya di Kuching.

Dalam pada itu, Henry Jalin Watt, 54, menasihati orang ramai agar merancang pembelian sebelum ke bazar bagi mengelakkan pembaziran.

Jelasnya, sikap membeli mengikut nafsu tanpa perancangan menyebabkan banyak makanan akhirnya terbuang begitu sahaja.

“Saya ingin memesan agar masyarakat merancang terlebih dahulu barang yang ingin dibeli agar tidak berlakunya pembaziran.

“Apabila pengunjung tidak membuat perancangan yang rapi, ia akan menjurus kepada sikap membazir dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, bagi peniaga, mereka turut mengakui bahawa pembaziran makanan sering berlaku sepanjang bulan Ramadan.

Seorang peniaga, Abdul Arif Adzman, 27, menegaskan bahawa sisa makanan yang masih elok tidak akan dibazirkan begitu sahaja, sebaliknya akan diberikan kepada golongan yang memerlukan.

“Sebagai langkah mengurangkan pembaziran, makanan yang tidak terjual habis akan disedekahkan kepada masyarakat setempat yang berdekatan,” katanya.

Senada dengan Arif, Mohamad Nur Roszazuwan, 23, yang berpendapat bahawa pembeli harus lebih bijak dalam berbelanja.

“Kalau boleh, kita berbelanja di bulan Ramadan ini mengikut kemampuan dan bukan mengikut nafsu. Jangan terlalu membeli makanan yang banyak.

“Makanan yang tidak habis kami akan menyedekahkan kepada masjid dan surau berdekatan sebagai usaha mengurangkan pembaziran,” katanya.

Isu pembaziran makanan di bazar Ramadan bukan perkara baharu, tetapi ia masih menjadi masalah yang berulang setiap tahun.

Justeru, masyarakat diingatkan bahawa Ramadan bukan sekadar tentang menikmati juadah berbuka, tetapi juga mengamalkan sikap bersederhana dan menghargai rezeki yang ada.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan