LAWAS, 16 Mac: Umat Islam perlu bergerak seiring dengan perubahan pembangunan yang kini digerakkan oleh kemodenan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kegagalan umat Islam dalam revolusi perindustrian pada era penjajahan perlu menjadi pengajaran untuk mereka bangkit menguasai ilmu dunia dan akhirat.
“Perkembangan teknologi maklumat dan AI akan mempengaruhi corak kehidupan kita.
“Jadi, adalah penting untuk mengangkat darjat dan maruah kita serta terus bersatupadu bekerjasama pelajari apa yang ada dalam al-Quran,” katanya pada Majlis Khatamal Al-Quran anjuran Perkim Daerah Lawas bertempat di Stadium Tertutup Lawas pada Ahad.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM Datuk Ajib Ismail, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara, Datu Ubaidillah Latip dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Seramai 1,550 peserta khatamal Al-Quran turut serta pada tahun ini yang melibatkan 104 kumpulan dari kampung, pertubuhan bukan kerajaan, jabatan kerajaan dan persatuan di Lawas. -TVS.