LAWAS, 16 Mac: Suri rumah perlu mendalami pengetahuan asas ilmu kebombaan sejajar peranan mereka yang lebih banyak di dapur.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ilmu kebombaan penting bagi mengelak berlakunya kemalangan kebakaran yang kebanyakkannya berpunca daripada bahagian dapur rumah.
Katanya, masyarakat juga perlu lebih berhati-hati sepanjang masa dengan mengelak diri dan keluarga daripada lalai terhadap keselamatan di rumah.
“Suri rumah kita harus diajar kerana merekalah yang sentiasa sibuk walaupun saya tahu lelakipun pandai masak.
“Tapi kebanyakan diurus oleh suri rumah kita dan mereka ini harus diberi latihan,” katanya sewaktu menghadiri Program Singgah Sahur Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dan Kempen Keselamatan Kebakaran Zon Tujuh Limbang awal pagi tadi.
Hadir sama Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan dan Ketua Balai BBP Lawas Clarence D.Primus Tiandun.
Awang Tengah mahu semua pemilik rumah memastikan aspek keselamatan dirumah khususnya sistem pendawaian yang telah lama dapat diganti semula.
“Perkara ini memang ada dalam program Kerajaan Sarawak bagi menggantikan pendawaian rumah rakyat miskin tetapi ini tidak dapat dilaksana dalam tempoh singkat secara menyeluruh dan pemohon perlu menunggu giliran mereka,”ujarnya.
Katanya, selain itu semua pemilik rumah di Sarawak juga perlu memiliki alat pemadam api yang mana harganya tidak mahal dan mampu menbantu mencegah kebakaran diperingkat awal. -TVS