BETONG, 16 Mac: Kerajaan akan membangunkan semula replika Kubu Rentap di Bukit Sadok dalam memacu sektor pelancongan di Bahagian Betong selain pertanian.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, replika Kubu Rentap di puncak Bukit Sadok diyakini akan menjadi satu produk pelancongan dan tarikan utama pengunjung ke Bahagian Betong kelak.
“Produk pelancongan yang kita buat di kawasan ini ialah untuk membina semula Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok yang menjadi tarikan dan tumpuan pengunjung.
“Di Spaoh ini sudah ada inap desa dan makanan yang enak, begitu juga di rumah panjang sudah ada produk tersendiri yang perlu ditonjolkan untuk mengembangkan industri pelancongan di kawasan kita,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Spaoh pada Sabtu.
Uggah berkata, Bukit Sadok terkenal dengan sejarah sebagai tapak kubu pahlawan Iban iaitu Panglima Rentap.
Pada masa sama katanya, kawasan Betong juga mempunyai beberapa rumah panjang yang masih mengekalkan ciri tradisional dan cantik serta menarik selain keindahan alam semulajadinya.
Turut hadir isteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datin Amar Doreen Mayang, Setiausaha Politik Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Abang Mohamed Abang Turkey dan Setiausaha Majlis Daerah Betong, Lister Clement Guwie. -TVS