KUCHING, 16 Mac: Pelbagai tafsiran antaranya termasuklah pembahagian satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak serta pelantar benua akan menjadi agenda yang dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Di Bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dijangka dijalankan pada Mei 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beberapa tafsiran yang berbeza di peringkat negeri Sabah, Sarawak serta Persekutuan perlu dimuktamadkan oleh Kabinet di bawah kendalian Perdana Menteri.
“Banyak perkara yang masih dan saya telah keluarkan kenyataan dan ada beberapa perkara yang telah pun dipersetujui dan ada yang telah dipersetujui secara sebahagian, selain ada yang masih di peringkat yang belum memperoleh.
“Justeru, beberapa perkara ini terpaksa dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, yang mana Premier Sarawak da Ketua Menteri Sabah turut berada di situ untuk mendapat hala tuju seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai Majlis Penutupan Kem Ihya Ramadan 2025 di Kuching pada Ahad.
Mengulas mengenai pengurusan air hujan secara bijak, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menjelaskan, kerajaan sedang giat merencana dan melaksanakan program pengurusan air seiring dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).
“Di Malaysia kita mempunyai jumlah dan lazimnya, air hujan ini akan dialirkan ke laut dan hilang begitu saja. Kita mempunyai program kita yang dikenali sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang mana sebelum dimasuk ke sungai, air itu akan ditakung dan takungan air itu dapat digunakan untuk simpanan air yang boleh digunakan semasa musim kemarau dan sebagainya,” ujarnya.-TVS