KUCHING, 16 Mac: Penganjuran Kem Ihya Ramadan 2025 dilihat sebagai salah satu medium asas terbaik dalam mendidik remaja mengenai kepentingan menambah ilmu keagamaan, memperbaiki sahsiah diri selain mendidik jiwa terutama di bulan Ramadan penuh keberkatan ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penganjuran program seumpama itu dapat membantu membentuk serta memperkukuhkan kerohanian selain pembentukan mental dan fizikal menurut ajaran agama Islam yang amat berguna dalam pembentukan institusi kekeluargaan Islam sebenar.
“Ramadan ini pada saya, lebih kepada untuk kita berganjak dan mengasuh diri kita untuk berdisiplin, namun yang lebih penting adalah untuk mengasuh hati kita, sebab kekuatan insan ini bermula dengan hati, bukan kekuatan tubuh badan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Ihya Ramadan 2025 di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Telaga Air di sini pada Ahad.
Seramai 50 pelajar sekolah menengah berusia antara 16 hingga 18 tahun daripada tiga sekolah di sekitar kawasan Petra Jaya menyertai Kem Ihya Ramadan 2025 anjuran Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak yang bermula dari 14 hingga 16 Mac 2025.
Antara sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Hilir, SMK Semerah Padi dan SMK Matang Jaya.
Peserta Kem Ihya Ramadan 2025 didedahkan dengan pelbagai pengisian intipati menarik antaranya termasuk Pendidikan Islam Asas Pembentukan Akhlak Mulia Remaja, Tanggungjawab Remaja Membentuk Keluarga Harmoni dan Remaja Cerminan Masa Depan, seiring dengan tema “Institusi Keluarga, Membina Sahsiah Remaja Muslim”.
Penganjuran Kem Ihya Ramadan 2025 turut mendapat sokongan daripada Pusat Khidmat Parlimen P.194 Petra Jaya, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), IKMAS dan Yayasan OBYU.
Hadir sama Pengarah Program merangkap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak, Ustaz Wan Lukmanhakim Wan Sajali dan Pengarah IKMAS, Zaizurina Mansor. -TVS