MIRI, 16 Mac: Kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah penting untuk memastikan kecemerlangan pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kemahiran insaniah seperti komunikasi, disiplin diri, penglibatan dalam sukan dan ko-akademik.
Pengarah Kolej Vokasional Miri, John Atong berkata, sokongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan pelajar.
“Ibu bapa adalah nadi dan suri teladan kepada anak-anak. Kejayaan mereka tidak hanya bergantung pada usaha sekolah, tetapi juga kepada sokongan dan perhatian ibu bapa terhadap perkembangan akademik, emosi serta kesejahteraan jasmani dan diri mereka.
“Peluklah anak-anak dan katakan kepada mereka, ‘Kamu yang terbaik,’ ‘Kamu mampu,’ dan ‘Kamu hebat’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menekankan hubungan baik antara ibu bapa dan pensyarah adalah kunci dalam menangani sebarang cabaran yang dihadapi pelajar.
“Komunikasi yang terbuka antara ibu bapa dan pensyarah sangat penting bagi menangani sebarang isu berkaitan pembelajaran dan perkembangan anak-anak. Jangan ragu untuk berbincang dengan pihak sekolah sekiranya ada kebimbangan.
“Kejayaan mereka adalah tanggungjawab bersama, dan kita perlu berganding bahu untuk membantu mereka mengatasi segala halangan,” ujarnya.-TVS