KUCHING, 16 Mac: Inisiatif diambil Kerajaan Sarawak dalam mengemas kini senarai penerima bantuan E-Kasih akan memberi kesan positif kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kemas kini senarai tersebut akan hanya meletakkan keluarga dalam kategori layak sahaja berada pada senarai penerima bantuan kerajaan.
Menurutnya, tindakan penyenaraian semula itu wajar dilakukan kerana masih terdapat individu tidak tergolong dalam kategori miskin tetapi masih tersenarai sebagai penerima bantuan kerajaan dan mendapat manfaat.
“Jadi sebab itu sebagai negeri Sarawak, memang tidak mahulah itu berlaku kerana kita tidak mahu melihat yang dikatakan Sarawak negeri yang kaya tapi orang yang miskin.
“Ia memang harusnya diatur semula kerana memang ramai orang bukan dalam golongan miskin, tapi dimasukkan dalam E-Kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa ditemui media selepas program Juh “Shopping Raya” anjuran PEKEMA di Mydin Petra Jaya di Kuching pada Ahad.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata satu kajian sedang dijalankan bagi mengenal pasti situasi sebenar keluarga terbabit sama ada dalam kategori layak menerima atau sebaliknya selepas beberapa tahun berada senarai penerima bantuan kerajaan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kajian tersebut kini sedang dalam pelaksanaan pihaknya dan akan diumumkan pada pembentangan Bajet Sarawak 2025 yang akan datang pada November depan. -TVS