MIRI, 16 Mac: Kesatuan Guru Sarawak (STU) diseru menjadi inspirasi kepada pelajar untuk melihat potensi dan peluang yang ditawarkan dalam industri kreatif dan pelancongan sebagai pilihan kerjaya masa depan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, sektor pendidikan boleh memainkan peranan penting dengan mengintegrasikan elemen berkaitan dalam kurikulum.
“Dan sudah tentu kementerian kita amat mementingkan peranan pendidik dalam membentuk generasi yang berilmu dan berdaya saing.”
“Sudah tentu kita memerlukan banyak bantuan untuk mempromosikan Sarawak termasuk anda semua untuk memberitahu orang ramai mengenai keindahan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Sarawak Teachers Union (STU) ke-60 di sini, pada Sabtu.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan katanya sentiasa menyokong pendidikan di Sarawak melalui program kesedaran pelancongan, kebudayaan dan kesenian.
“Ini termasuk kerjasama dengan institusi pendidikan untuk memperkenalkan modul pembelajaran mengenai warisan dan industri kreatif, menganjurkan pertandingan seni dan budaya untuk pelajar, serta menyediakan peluang latihan dan pendedahan kepada sektor pelancongan dan seni persembahan,” ujarnya.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat membantu melahirkan pelajar lebih berdaya saing serta memahami kepentingan pelancongan dan kesenian dalam pembangunan Sarawak. – TVS