KUCHING, 16 Mac: Big Pharmacy dengan kerjasama TVS Prihatin terus menunjukkan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Infaq Ramadan yang diadakan di Masjid Jamek Negeri Sarawak pada Sabtu.
Program tersebut bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak dari rumah kebajikan, bertepatan dengan semangat memberi dan berkongsi rezeki di bulan Ramadan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, seramai 20 anak dari Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching dan Pusat Jagaan Laman Huda telah menerima sumbangan berupa duit raya dan pakaian baharu sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Penyerahan sumbangan tersebut dijalankan bersempena dengan pengagihan bubur lambuk di bawah program Infaq Ramadan, yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Penolong Pengurus Kawasan Big Pharmacy, Sonia Yap Yung Hwei, disaksikan oleh Ketua Kandungan Kreatif TVS, Jamal Abdullah serta Timbalan Presiden Kelab Kakitangan SMG, Awangku Mohamad Syahril Fikri.
Menurut wakil Big Pharmacy, kerjasama tersebut bukan sekadar inisiatif sekali sahaja, tetapi merupakan usaha berterusan dalam menyumbang kepada komuniti yang memerlukan.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan TVS Prihatin dalam menjayakan program ini.
“Diharapkan sumbangan kecil ini dapat menceriakan anak-anak rumah kebajikan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata wakil Big Pharmacy
Sementara itu, TVS Prihatin turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai pihak dalam melaksanakan program CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kolaborasi ini membuktikan bahawa dengan berganding bahu, lebih banyak inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan, bukan hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang tahun,” ujar wakil TVS Prihatin. -TVS