LAWAS, 16 Mac: Pembangunan bandar sahabat di kawasan sempadan antara Merapok di Sarawak dan Sindumin di Sabah bakal mengubah landskap pembangunan di utara Sarawak.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perancangan yang dilaksana oleh pemimpin terdahulu akan diteruskan dengan pendekatan lebih menyeluruh.
Menurutnya, pendekatan tersebut akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, modal insan dan segal aspek kehidupan masyarakat di kedua-dua wilayah berjiran itu.
“Memang ini telahpun dirancang oleh kepimpinan terdahulu untuk diwujudkan bandar sahabat yang merangkumi kawasan sempadan Sindumin dan Merapok.
“Ada yang sudahpun dilaksana terhasil daripada perancangan itu sebagai contoh Masjid Sahabat ini. Masjid ini terletak sebahagiannya dikawasan Sabah sebahagian dikawasan Sarawak dan Sindumin ini ada hospitalnya di Merapok cuma ada klinik. Kita nak melengkapi antara satu sama lain tapi perancangan itu tidak terlaksana sepenuhnya.
“ Disebabkan itu kita mempunyai pelan induk pembangunan di Merapok ini dan dikawasan Sindumin pun saya yakin mereka ada perancangannya sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat isyak di Masjid Sahabat pada Mahlis Iftar Perdana Borneo malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusuf Yacob dan Timbalan Ketua Pengarah JAKIM Datuk Ajib Ismail.
Awang Tengah berkata, kawasan berkenaan bakal dijadikan sebagai pintu masuk utama untuk pergerakan perhubungan dan perlaksanaan perancangan pembangunan ekonomi.
Jelasnya, Sipitang akan dibangun menjadi hab sektor petroleum dan gas Sabah manakala di Lawas turut mempunyai pelan pembangunan induk yang melibatkan sektor petro kimia dan pemprosesan minyak dan gas oleh pelabur yang sedia untuk melaksanakan projek tersebut.
Pada masa yang sama beliau mahu kepimpinan peringkat daerah kedua wilayah berjiran dapat menjalin hubungan kerjasama erat bagi menyelesaikan berbagai isu diantara kedua sempadan.
“Ini melibatkan kesesakan dipintu sempadan Merapok dan isu-isu lain melibatkan kepentingan kedua wilayah berjiran iaitu Sabah dan Sarawak,” ujarnya. TVS.