DARO, 16 MAC: Sebanyak 54 rumah di Kampung Tebaang, Kampung Baru dan Kampung Pangtray di sini selesai dibaik pulih di bawah projek kecil luar bandar (MRP) Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) bagi Fasa 1/2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, projek berkenaan berjaya disiapkan mengikut jadual sekali gus membolehkan penduduk menikmati kemudahan lebih baik sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Alhamdulillah, kerja-kerja baik pulih sebanyak 54 rumah yang diterima oleh penduduk kampung ini berjaya disiapkan tepat pada masanya sebelum menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan golongan rakyat miskin di kawasan luar bandar,” kata Safiee ketika mengadakan tinjauan dan melawat Rumah Penerima MRP-PPRMS di DUN N.43 Daro.
Program MRP-PPRMS merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah khususnya di kawasan luar bandar dapat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Tambah Safiee, usaha tersebut selaras dengan matlamat kerajaan untuk mempertingkatkan infrastruktur asas dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Kerajaan Sarawak akan terus komited dalam memperbaiki prasarana di kawasan luar bandar, dengan harapan lebih ramai rakyat dapat merasai manfaat pembangunan yang mampan dan inklusif,” ujarnya.-TVS