KUCHING, 15 Mac: Sarawak Metro Sdn Bhd sebagai antara pemain utama dalam ekonomi hidrogen tempatan, menganggap usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai ‘bahan api masa depan’ sebagai antara tanggungjawab terbesar mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd Mazli Mustaffa dalam kenyataan hari ini berkata antara kaedah utama untuk mencipta kesedaran ini adalah melalui sesi libat urus awam.
“Semasa acara ini, kami diberi peluang berkongsi maklumat terkini mengenai projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan lebih penting lagi, kami dapat berkongsi beberapa perkembangan terkini dalam teknologi hidrogen, terutama untuk pengangkutan awam yang sedang berlaku di seluruh dunia.
“Perkembangan ini benar-benar memberi inspirasi dan dorongan kepada kami di Sarawak Metro dan saya berharap ia juga memberi inspirasi kepada orang ramai yang kami temui,” katanya sempena penyertaan Sarawak Metro dalam program bertemakan ‘Ecofrontiers: Teknologi yang Menyelamatkan Bumi 2025 anjuran Petrosains di sini hari ini.
Beliau berkata antara perkembangan terbaharu dalam pengangkutan hidrogen adalah pengumuman di India baru-baru ini mengenai pelancaran ‘tren hidrogen paling berkuasa’, yang menandakan lonjakan signifikan dalam teknologi kereta api mampan.
Selain itu, Mazli berkata negara seperti Korea Selatan, China dan Jepun juga terus menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada Sarawak Metro, terutama apabila negara-negara berkenaan gigih dalam usaha membangunkan ekonomi hidrogen dalam perjalanan menuju karbon sifar bersih.
Beliau juga menyatakan bahawa perkembangan dalam ekonomi hidrogen global dan mobiliti hidrogen terus mencapai pencapaian baharu di Eropah dan Amerika.
“Sudah tentu, sambil kami memantau industri ini dengan teliti, kami juga mendapati bahawa beberapa negara, wilayah, bandar atau organisasi masih belum sepenuhnya bersedia untuk menerima teknologi sifar karbon ini.
“Kami memahami sepenuhnya bahawa setiap daripada mereka menghadapi cabaran tersendiri dan oleh itu, adalah tidak adil untuk membandingkan situasi mereka dengan keadaan kami di Sarawak,” katanya. -TVS