LIMBANG, 15 Mac: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM200 juta untuk membina jalan darat menghubungkan Kampung Bulantak dan Kampung Limpaku Pinang yang hanya dapat diakses menggunakan laluan sungai.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek tersebut akan menyaksikan dua perkampungan yang dulunya terasing bakal dihubungkan dengan dunia luar.
âPeruntukan untuk buat jalan menghubungkan Kampung Bulantak dan Limpaku Pinang yang hanya dihubungkan melalui sungai bernilai RM200 juta.
âProjek ini melibatkan dua atau tiga sungai kecil dan biasanya pembinaan jalan mengambil masa tiga hingga empat tahun iaitu sebelum 2030. Ini adalah tanggungjawab kerajaan memberi kemudahan asas dan tanggungjawab rakyat perlulah menyahut seruan kerajaan,â katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Bukit Kota di Dewan Bunga Raya pada Sabtu.
Beliau berkata, hanya dua kampung tersebut di konstituensinya yang masih belum mempunyai akses jalan raya kerana terletak di muara sungai dan hanya dapat dihubungi melalui jalan sungai yang mengambil masa sekitar 30 minit perjalanan dari Bandar Limbang.
Kemudahan jalan itu katanya akan memberi manfaat kepada kira-kira 300 masyarakat di sana dan apabila siapnya projek tersebut, ia akan memberi kemudahan perhubungan kepada penduduk dan membuka kawasan tersebut untuk aktiviti lain terutamanya pertanian. -TVS