Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Petronas di Masjid Al-Muflihin, Sebuyau pada Sabtu. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Perlindungan komersial dijangka dimuktamadkan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 15 Mac : Industri minyak dan gas negara terus berkembang dengan PETROS kini berperanan sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.

Sehubungan itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menegaskan bahawa peralihan ini memberi kesan besar terhadap pengurusan dan pengagihan gas manakala penyelesaian perlindungan komersial dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menjadi faktor utama dalam memastikan Sarawak terus berkembang sebagai pemain utama dalam sektor tenaga negara.

“Perlindungan komersial antara PETROS dan Petronas masih dalam peringkat perbincangan. Saya berharap ia dapat dimuktamadkan segera kerana ia penting bagi memastikan Sarawak mendapat manfaat yang sewajarnya daripada sumber tenaganya,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Petronas di Masjid Al-Muflihin, Sebuyau pada Sabtu.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama ini dalam konteks perundangan negeri khususnya Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

“Kita perlu mencari titik persetujuan yang memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya merujuk kepada keseimbangan antara hak negeri dan kepentingan nasional dalam sektor tenaga.

Selain itu, beliau menekankan keperluan kerjasama strategik antara kedua-dua entiti bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan industri tenaga di Sarawak.

“Kita mahu PETROS dan Petronas bergerak seiring dalam ekosistem tenaga yang lebih mampan. Kerjasama ini bukan sahaja menjamin kestabilan industri, malah memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan negara,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan bahawa Sarawak Gas Roadmap memainkan peranan penting dalam hala tuju pembangunan industri tenaga negeri.

Menurutnya, PETROS perlu mengguna pakai strategi yang mampan bagi memastikan sumber gas dipasarkan dengan cekap dan memberi impak positif kepada pertumbuhan sektor tenaga.

“Kita perlu memanfaatkan Sarawak Gas Roadmap dengan sebaiknya. Dengan perlindungan komersial yang kukuh antara PETROS dan Petronas, kita dapat mempercepatkan pemasaran sumber gas ini dan mengoptimumkan penggunaannya untuk pembangunan negeri,” jelasnya.

Menurutnya, Sarawak juga sedang meneliti peluasan penggunaan gas dalam sektor tenaga, termasuk dalam penjanaan kuasa bagi memenuhi keperluan domestik dan eksport.

“Kita sudah memanfaatkan gas untuk penjanaan tenaga dan akan terus memperluaskan penggunaannya. Ini termasuk projek baharu di Kuching yang berpotensi menjana tenaga sehingga 5,000 MW,” kata Julaihi.

Beliau berkata, pembangunan industri tenaga di Sarawak bukan sahaja menguntungkan wilayah ini tetapi turut menyumbang kepada pembangunan tenaga negara secara keseluruhan.

“Sarawak mempunyai sumber gas yang melimpah, dan dengan kerjasama strategik antara PETROS dan Petronas, kita dapat memastikan sumber ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan Sarawak dan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, perlindungan komersial antara PETROS dan Petronas adalah elemen penting dalam memastikan Sarawak terus maju sebagai hab tenaga utama di rantau ini.

“Dengan penyelesaian perlindungan komersial ini, Sarawak akan terus berkembang dalam sektor minyak dan gas serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan