KUALA LUMPUR, 15 Mac: Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan, berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Pada minggu ini, bank pusat menerusi operasi hariannya menawarkan repo berbalik, repo berbalik Islam dan tender repo berbalik semalaman bagi mengurangkan lebihan dana daripada sistem kewangan.
Lebihan mudah tunai sistem konvensional menokok kepada RM37.41 bilion pada Jumaat daripada RM27.70 bilion pada akhir minggu sebelumnya.
Sementara lebihan mudah tunai sistem Islam merosot kepada RM21.09 bilion daripada RM28.70 bilion sebelumnya.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 13 Mac.-TVS