LUNDU, 15 Mac: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Lundu meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan Program Jom Masak dan Agih Bubur Lambuk 2025 yang bertujuan mempererat hubungan antara warga kampus dan masyarakat setempat.
Ketua Kampus CENTEXS Lundu, Dr. Nor Ashikin Abdul Rahman berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti kebajikan malah menjadi platform penting dalam memupuk nilai silaturahim dan budaya berkongsi rezeki.
“Program ini unik kerana ia menggabungkan kepakaran tenaga pengajar dalam bidang masakan dengan pengalaman tukang masak sekitar Lundu. Setiap tahun, pelajar baharu dapat merasai pengalaman sama.
“Tahun ini, penyertaan adalah daripada pelajar program Aeroangkasa. Kami saling bekerjasama dan menunjukkan semangat silaturahim antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui TVS pada Program Jom Masak dan Agih Bubur Lambuk 2025 di Masjid Darul Iman ,Kampung Sileng Lundu, di sini, hari ini.
Menurutnya, sambutan luar biasa setiap tahun membuktikan keberkesanan program tersebut dalam mengeratkan hubungan antara warga kampus dengan masyarakat luar.
“Ramadan adalah masa yang sesuai untuk kita memperkukuh hubungan dengan masyarakat. Kami berharap tradisi ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Selain memberi manfaat kepada penduduk setempat, program ini juga memberi peluang kepada pelajar CENTEXS untuk mempelajari nilai kemasyarakatan serta kepentingan kerja berpasukan,” ujarnya.
Program yang memasuki edisi ketiga tersebut merupakan program anjuran Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu dengan kerjasama AJK Masjid Darul Iman, Kampung Sileng, Lundu.
Untuk rekod, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk berjaya disediakan dan diedarkan kepada penduduk sekitar Masjid Darul Iman, Kampung Sileng, Lundu.- TVS