KUALA LUMPUR, 15 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran kepada pihak yang mempertikai dan mencabar usaha kerajaan dalam membela nasib orang Melayu di negara ini.
Menurut Anwar, amaran itu ditujukan kepada pihak yang menentang usaha kerajaan, khususnya berkaitan pengenalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan bersedia untuk bertindak balas terhadap pihak yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan bagi menolak akta tersebut.
“Mereka mengatakan rizab Melayu akan hilang. Ini suatu pandangan yang menyesatkan dan mengkhianati orang Melayu itu sendiri.
“Status tanah tetap sama, tidak berubah. Kita mahu gunakan undang-undang ini untuk membangunkan semula kawasan orang Melayu di bandar, terutamanya di Kuala Lumpur.
“Jangan cabar apabila kita (kerajaan) mahu membela nasib orang miskin, termasuk dalam kalangan masyarakat Cina dan India.
“Kalau mereka mahu mengganggu dan mengadakan perhimpunan, kita juga akan menganjurkan perhimpunan di stadium bagi mempertahankan dasar membela nasib orang Melayu,” katanya pada Majlis Peluncuran Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) sempena Sambutan Hari MARA ke-59 di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; serta Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Berucap pada majlis itu, Anwar turut memberi amaran kepada pihak yang mengeksploitasi identiti Melayu dan Bumiputera untuk kepentingan peribadi.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan sedemikian telah mengakibatkan kehilangan dana besar yang sepatutnya dimanfaatkan oleh masyarakat Bumiputera.
“Jangan guna nama Melayu dan Bumiputera untuk memunggah kekayaan peribadi. Jangan gunakan peluang atas nama Bumiputera untuk mengkhianati. Kita (kerajaan) akan lawan dan berdepan dengan kumpulan ini.
“Kita dapat lihat berapa banyak dana Bumiputera yang ‘lebur’ akibat isu tatakelola,” tegasnya.
Anwar menambah bahawa MARA perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani sentimen yang melemahkan semangat masyarakat Bumiputera.
“Kita mesti membetulkan persepsi salah yang menjejaskan dan melemahkan semangat rakyat. Kita perlu membuktikan sebaliknya, dan saya mahu MARA mengambil peranan ini,” katanya. – TVS