PUSA, 15 Mac: Seramai 170 golongan asnaf di Zon Pusa menerima sumbangan dalam Program Ihya Ramadan Batang Lupar bagi kawasan Beting Maro, yang berlangsung di Masjid Rahmaniah Kampung Pusa pada Jumaat.
Menurut laporan UKAS, program anjuran Pusat Khidmat Batang Lupar itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Dalam ucapannya, Mohamad Shafizan menzahirkan rasa syukur kerana dapat bertemu semula dalam bulan Ramadan tahun ini, sambil menyeru agar masyarakat memanfaatkan keberkatan bulan suci ini dengan memperbanyakkan amalan seperti membaca Al-Quran, berzikir dan bersedekah.
“Program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai wadah untuk mengeratkan lagi silaturahim antara pemimpin dan rakyat.
“Ramadan adalah bulan keberkatan dan saya berharap kita semua dapat mengambil peluang untuk meningkatkan amal ibadah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar masyarakat bersyukur dengan nikmat keselesaan yang dikecapi di Sarawak, berbanding saudara seagama di Palestin yang menyambut Ramadan dalam keadaan penuh kekurangan.
Sumbangan yang disampaikan dalam program ini diharap dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan serta menyemarakkan semangat Ramadan dalam kalangan penduduk setempat.
Turut hadir, Penghulu Kawasan Pusa, Mahdi Kidi; Ketua Kampung Hilir Pusa, Mat@Saini Ketua Kampung Hulu Pusa, Brahim Bakar; Ketua Kampung Tengah Pusa, Jaafar Yusuf dan Pengerusi Masjid Rahmaniah Pusa, Brawi Golong.