SRI AMAN, 14 Mac: Seorang warga emas melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Hilir, Sri Aman, tengah hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata Mohamed Idi, 70, melecur kira-kira 12 peratus badannya.
“Sebuah rumah jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus. Warga emas yang melecur dibawa orang awam ke hospital sebelum pasukan bomba sampai di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Bomba yang menerima panggilan pada pukul 12:38 tengah hari terus menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman ke lokasi.
“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.