Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, hari ini menziarahi dan menyantuni seniwati tersohor, Datuk Sarimah Ahmad, permata seni layar perak yang bersinar gemilang sejak era 60-an, sempena Program Ziarah Seni MADANI@FINAS di Subang Jaya. Foto TVS

Terima kasih bantu usaha pulangkan filem saya – Sarimah

ByMuqri Aziz

SUBANG JAYA, 14 Mac: “Terima kasih Kerajaan MADANI. Saya tidak mampu membalas jasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” demikian luahan hati seniwati ulung negara, Datuk Sarimah Ahmad, 83, apabila kerajaan, menerusi Kementerian Komunikasi, tampil membantu usaha mengembalikan empat filemnya setelah rintihannya diabaikan selama 36 tahun.

Empat filem tersebut—Dia Ibuku, Jejak Bertapak, Kabus Tengah Hari, dan Detik 12 Malam—telah diambil di bawah satu perjanjian untuk tujuan tayangan pada tahun 1989.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, memberi jaminan bahawa keempat-empat filem berkenaan akan dikembalikan kepadanya dalam masa terdekat serta mempertimbangkan pemberian royalti hasil lakonan beliau.

“Kami akan mengkaji perkara ini dan secara prinsipnya, syarikat terbabit telah bersetuju bahawa sekiranya filem ini dapat ditayangkan di RTM, sedikit royalti boleh disalurkan kepada Sarimah.

“Namun, butiran lanjut akan diteliti bersama pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya ketika ditemui media selepas menyantuni serta menziarahi Sarimah Ahmad di Subang Jaya, hari ini.

Kunjungan mesra itu adalah sebahagian daripada inisiatif Ziarah Seni MADANI@FINAS sempena bulan Ramadan dan Hari Wanita Antarabangsa yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Tambah Teo, syarikat yang memiliki filem-filem tersebut telah menyerahkan salinan dalam format HDD kepada FINAS untuk tujuan restorasi, bagi membolehkan filem itu diserahkan kembali kepada Sarimah sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan warisan seni negara.

Selain itu, syarikat terbabit juga akan memberikan wang saguhati kepada beliau sebagai tanda penghargaan atas sumbangannya dalam industri perfileman tanah air.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Sarimah merayu kepada seorang penerbit terkenal agar memulangkan semula pita asal empat filem hasil karyanya yang diambil sejak 37 tahun lalu, sebelum beliau meninggal dunia.

Filem-filem tersebut merupakan karya seni yang diterbitkan melalui Sarimah Film Production dan Sasari.

Difahamkan, filem-filem tersebut diambil pada hari kematian suaminya, Allahyarham Yusof Majid, sebagai ganti bagi ‘melunaskan hutang’ kepada penerbit berkenaan.

Namun, Sarimah mendakwa penerbit itu mengambil kesempatan dengan memintanya menandatangani dokumen ketika beliau masih dalam keadaan berduka.

Sehingga kini, penerbit itu gagal mengembalikan filem-filem tersebut kepada Sarimah dan dilaporkan hilang tanpa sebarang khabar berita. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan