SPAOH, 14 Mac: Projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling dijangka beroperasi pada November 2025, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, pembinaan projek yang menelan kos RM248 juta itu mengikut jadual dan pihaknya memastikan semua keperluan dipenuhi bagi memastikan lapangan terbang ini dapat beroperasi dengan lancar.
“Kita yakin bahawa ia akan dapat digunakan pada November tahun ini dan segala mekanisme dipenuhi bagi memastikan ia berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Jambatan Sungai Paku di sini, hari ini.
Menurutnya lagi selain lapangan terbang Bebuling, sebuah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) bagi hasil pertanian turut dibina yang akan melengkapi kemudahan lapangan terbang itu sekali gus landskap kawasan Betong.
Katanya projek yang menelan kos RM16 juta di bawah seliaan RECODA itu hampir siap sepenuhnya dan memerlukan beberapa sentuhan terakhir.
“Kita mempunyai 1000 ekar agropark dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang bakal dijalankan. Empat syarikat telah dipilih untuk menjalankan projek di kawasan ini yang akan menunjukkan kesiapsiagaan dalam menyediakan produk untuk dieksport melalui lapangan terbang itu,” katanya lagi.
Mengulas mengenai lawatan beliau ke Jambatan Sungai Paku, Uggah berkata projek yang bernilai RM36 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang November tahun ini.
Katanya, projek yang sebelum ini tergendala telah diselamatkan dan kini berada dalam fasa pemulihan selepas pertukaran kontraktor baharu.
Ia sekali gus menjadikan projek yang dinantikan oleh warga Spaoh setelah sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.
“Ini adalah beberapa projek yang akan membantu dan meningkatkan pendapatan rakyat. Ia merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Sementara itu Uggah menambah, dua daripada keseluruhan 16 jambatan di Sarawak siap pada bulan ini antaranya Jambatan Jepak di Bintulu dan Jambatan Batang Rajang di Sarikei.
Manakala Jambatan Saribas 1 dijangka siap menjelang April dan Jambatang Batang Lupar 1 yang akan menjadi jambatan sungai terpanjang di Malaysia dijangk siap pada hujung tahun ini. – TVS