SIMUNJAN, 14 Mac: Sebanyak 200 pek bubur lambuk habis diedar dalam masa setengah jam secara pandu lalu di Padang Sentral Simunjan, pada Khamis.
ADUN Simunjan, Awla Dris berkata inisiatif agihan itu bertujuan untuk berkongsi rezeki kepada penduduk setempat sempena Ramadan kali ini.
“Program ini bertujuan untuk berkongsi sedikit rezeki kepada penduduk setempat, khususnya mereka yang memerlukan, dalam memeriahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurutnya, Program Agihan Bubur Lambuk itu dianjurkan oleh Pejabat Daerah Simunjan dan KMKK Simunjan di sini.

Foto: FB Awla Dris
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk para sukarelawan dan agensi yang bekerjasama,” ujarnya.
Awla dalam pada itu berharap agihan bubur lambuk terbabit memberi manfaat dan keceriaan kepada warga Simunjan untuk berbuka puasa seisi keluarga.
Seterusnya beliau menyeru mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program serupa di Simunjan dalam usaha membina masyarakat yang harmoni.