Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, hari ini menziarahi dan menyantuni seniwati tersohor, Datuk Sarimah Ahmad, permata seni layar perak yang bersinar gemilang sejak era 60-an, sempena Program Ziarah Seni MADANI@FINAS di Subang Jaya. Foto TVS

Seniwati Sarimah Ahmad terima sumbangan daripada kerajaan, FINAS

ByMuqri Aziz

SUBANG JAYA, 14 Mac: Seniwati ulung negara, Datuk Sarimah Ahmad, menerima sumbangan daripada kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi inisiatif Ziarah Seni MADANI@FINAS, sempena bulan Ramadan dan Hari Wanita Antarabangsa.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata Sarimah, 83, merupakan antara 100 penggiat seni tanah air yang menerima penghargaan di bawah inisiatif tersebut.

“Kami ingin memberikan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada tokoh seni, termasuk pelakon tersohor tanah air.

“Kami turut menyampaikan wang sagu hati sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam industri perfileman negara,” katanya kepada media selepas menziarahi Sarimah Ahmad di Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir dalam kunjungan itu Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, serta wakil FINAS dan pejabat Timbalan Menteri Komunikasi.

Menurut Teo, inisiatif Ziarah Seni MADANI telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Pada tahun lalu, seramai 49 tokoh seni menerima penghargaan menerusi program tersebut.

“Pada tahun ini, inisiatif Ziarah Seni MADANI@FINAS menyasarkan 100 penerima, dan dua lagi program bakal dianjurkan.

“Program pertama akan berlangsung pada 17 Mac, di mana Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sendiri akan hadir dan menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima.

“Sementara itu, pada Hari Seniman 2025, yang dijadualkan pada 21 Mac, seramai 20 lagi penerima akan menerima bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Sarimah meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diterimanya, selain berkongsi pengalaman mengenai keadaan kesihatannya.

“Apa yang saya alami selama ini adalah rahmat daripada Allah SWT. Saya pernah menghidap kanser sebanyak dua kali, pertama sudah lama berlalu, dan yang terbaru adalah dua tahun lalu, iaitu kanser kolon.

“Baru-baru ini, saya dimasukkan ke hospital secara mengejut selepas mengalami muntah-muntah ketika bersarapan. Saya tidak tahu apa yang berlaku, hanya sedar setelah mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantunya, terutama cucu dan suami, serta bersyukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat yang dikurniakan.

Sehubungan itu, Teo mendoakan agar Sarimah sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur.

Sarimah merupakan permata seni layar perak yang bersinar sejak era 1960-an dan memulakan kariernya menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok.

Lakonannya dalam filem-filem hitam putih kekal segar dalam ingatan, terutama gandingannya bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam karya agung seperti Ibu Mertuaku, Madu Tiga, dan Tiga Abdul.

Dedikasi beliau terhadap dunia perfileman diraikan dengan penuh penghormatan apabila menerima Anugerah Khas Pelakon Veteran Wanita pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-23 pada 2011 serta Anugerah Khas Seniwati Sepanjang Zaman pada FFM Ke-32 pada 2022. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan