KUCHING, 14 Mac: Senarai bidang pengajian terpilih bagi inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak akan diumumkan Oktober 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah ini susulan pengambilan pertama inisiatif itu yang akan bermula pada tahun 2026.
“Mereka boleh memilih daripada pelbagai jurusan kursus atau disiplin untuk kita terus maju dalam semua industri. Terdapat bidang yang berkaitan industri canggih dan juga berasaskan ekonomi baharu dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Integriti dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini, hari ini.
Tambahnya, inisiatif ini juga bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Melibatkan universiti milik Kerajaan Sarawak, dasar ini akan memberi manfaat kepada lebih 25,000 pelajar di seluruh Sarawak. – TVS