PUTRAJAYA, 14 Mac: Dua negeri di Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak, merekodkan jumlah kes kanser serviks tertinggi di Malaysia, kata Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, kedudukan geografi dan jurang perkhidmatan kesihatan yang ketara berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada jumlah kes tersebut.
“Kita (Kementerian Kesihatan) menyediakan perkhidmatan yang komprehensif, tetapi masih terdapat bahagian dan daerah di Sarawak yang belum mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi.
“Selain itu, taburan rumah panjang serta kedudukan penempatan penduduk asal di Sabah juga menjadi faktor yang mempengaruhi situasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Yayasan ROSE di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman menegaskan bahawa tahap pendidikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai saringan awal kanser serviks.
Justeru, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan pendekatan media sosial bagi menggalakkan golongan wanita menjalani ujian HPV lebih awal.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Lukanisman memaklumkan bahawa kadar insiden kanser serviks di Malaysia menunjukkan penurunan bagi tempoh 2017 hingga 2021.
“Kes kanser serviks di Malaysia telah menurun kepada 6.0 kes bagi setiap 100,000 wanita dalam tempoh 2017-2021, berbanding 6.2 kes bagi setiap 100,000 wanita dalam tempoh 2012-2016.
“Lebih signifikan, kanser serviks kini tidak lagi berada dalam senarai 10 kanser paling kerap di Malaysia, sebaliknya telah turun ke tangga ke-11,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai MoU yang ditandatangani antara KKM dan Yayasan ROSE, Lukanisman berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama, termasuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan mengenai kepentingan saringan HPV melalui platform media sosial.
“Menerusi kerjasama ini, Yayasan ROSE akan menyediakan kit saringan kendiri HPV secara percuma kepada wanita yang memerlukan, terutamanya di kawasan luar bandar dan dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Yayasan ROSE, Dato’ Professor Dr Adeeba Kamarulzaman dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. – TVS