KUALA LUMPUR, 14 MAC: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mengetuai kunjungan hormat terhadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada Jumaat.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kunjungan tersebut turut disertai Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Pertemuan ini bertujuan untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai transformasi sektor perkhidmatan awam, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Di samping itu, kedua-dua pihak turut berkongsi pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran serta memperkasakan lagi pelaksanaan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar juga menyatakan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam merangka dan melaksanakan polisi yang lebih inklusif dan berkesan.
Beliau berharap kerjasama yang kukuh ini akan dapat memberi impak positif dalam mencapai visi pembangunan negara secara keseluruhan.
Sementara itu, kunjungan tersebut adalah bagi memperkenalkan Pentadbiran Perkhidmatan Tertinggi Kerajaan Sarawak.
Dalam kunjungan hormat itu, delegasi turut berpeluang memberi sedikit makluman berkenaan dengan keadaan dan situasi bencana di Sarawak selain berkongsi berkenaan hal berkaitan pembangunan ekonomi dan pelaburan Kerajaan Sarawak.